SEPTEMBER 2022

IBET Tangani Rabies, Alam Sekitar


KUCHING: Kerajaan Sarawak adalah yang pertama di negara ini menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Imun Penampan (IBET) bagi mengekang penularan kes jangkitan rabies dan memelihara alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan itu diluluskan Kabinet Sarawak Jun 2020 bertujuan menghentikan penularan rabies atau penyakit anjing gila memasuki Sarawak.

Selain Covid-19, negeri ini masih diancam penularan rabies berpunca daripada virus yang dibawa anjing liar, katanya pada majlis pelancaran IBET di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini.

Abang Johari berkata, di samping mengekang penularan penyakit yang berbahaya kepada manusia, memelihara alam sekitar juga harus diutamakan.

Justeru, katanya, IBET akan melaksanakan kedua-dua tugas utama itu dalam menjaga kesihatan rakyat dan alam sekitar agar sentiasa terpelihara. Masa depan negeri ini bergantung kepada kualiti dan standard alam sekitar.

"Saya harap pasukan IBET akan dapat sama-sama membantu kerajaan memelihara alam sekitar selain mengekang penularan Rabies,” katanya.

Katanya, Kerajaan Sarawak sanggup mengeluarkan bajet besar membiayai beberapa siri operasi sejak 2018 melibatkan ramai petugas, keperluan logistik, kos vaksinisasi dan perbelanjaan lain.

Beliau bersyukur kerana operasi itu menghasilkan impak positif.

Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS) bersama Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan Sarawak Energy Berhad (SEB). 

MoU itu bertujuan menjalinkan kerjasama bagi mengawal penyakit berjangkit dan penggunaan fasiliti bersama bagi mencari kaedah terbaik dalam operasi pengawalan penyakit rabies.

Pada sidang media kemudian, Abang Johari berkata, IBET dianggotai oleh 108 anggota, semuanya anak watan Sarawak mewakili pelbagai kaum dan berasal dari pedalaman negeri ini.

Kebanyakan anggota IBET itu terdiri daripada bekas tentera dan polis dan pasukan itu akan dibekalkan dengan kenderaan beserta kelengkapan canggih untuk membolehkan mereka menjalankan tugas di lokasi terpencil, katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Datu Dr. Chai Khin Chung.

Sumber dari : Jiwa Bakti